Monday, December 17, 2012

Tak bosan ke jadi suri rumah?

Pejam celik kini sudah setahun aku meninggalkan alam pekerjaanku yang ku lalui selama 13 tahun. Menyesal? Tiada dalam kamus hidupku, aku sangat yakin setiap yang Allah tentukan untukku adalah yang terbaik buatku. Walaupun pemberhentian aku tempoh hari kelihatan seperti mengejut, tetapi aku telah merancangnya sejak aku mula memasuki alam pekerjaan. Aku tidak boleh membayangkan pada usia 50an aku masih lagi terpaksa mengadap komputer, melayan kerenah pelangan, pening dengan bos dan rakan sekerja...pada perancangan awal aku ingin menamatkan alam pekerjaanku pada usia 40, tapi perancangan Allah lebih cepat dari itu.




Aku mengambil keputusan untuk berhenti setelah ditimpa masalah kesihatan yang berpanjangan pada penghujung tahun 2011. Alasan tidak sihat itu hanyalah alasan semata-mata kepada mereka yang bertanya. Aku berhenti kerana aku sudah tidak boleh lagi memaksa diriku untuk melakukan pekerjaan yang aku tidak suka. Aku terjebak dalam bidang komputer. Sedari waktu belajar aku tidak berminat apatah lagi ketika bekerja. Sepanjang aku bekerja, aku dengan sendirinya terhukum rasa bersalah bertahun-tahun dan kini barulah aku menarik nafas lega akhirnya aku dapat melakukan suatu yang aku benar-benar IKHLAS.

Pada awalnya aku keliru dengan diriku sendiri, apakah yang aku minat? Enam tahun sebelum aku berhenti, aku mempelajari beberapa jenis perniagaan yang boleh diusahakan, tetapi aku dapat merasakan ianya tidak bersesuaian dengan diriku. Setelah aku ditimpa kesakitan dan situasi yang aku merasakan Allah memberiku aku peluang hidup kali kedua, aku kembali menghitung diri. Aku terlalu sibuk memikirkan bagaimana mencari wang sedangkan ianya bukanlah kewajibanku. Tanggungjawabku sebagai isteri, ibu, anak dan masyarakat belum lagi ku tunaikan dengan sebaik mungkin.

Malu aku untuk menyatakan....sebenarnya sejak aku remaja lagi aku mempunyai impian untuk menjadi isteri dan ibu yang soleh. Aku rajin mencari ilmu mengenainya- mengikuti kursus, membeli buku dll. Dari sedikit ilmu yang diperolehi, aku dapat melihat banyak kesilapan yang dilakukan oleh para isteri dan ibu. Tiada ilmu khusus untuk menjadi isteri dan ibu yang cemerlang, antara ilmu yang perlu ada seperti: Ilmu agama + ilmu psychology + ilmu human development. Selain dari itu si ibu juga perlukan ilmu nutrisi, ilmu masak, ilmu first aid, ilmu hygiene dll. Selain dari ilmu, amalan yang mendekatkan diri kepada Maha Pencipta perlu dilakukan setiap hari bagi mendapatkan kesabaran dan ketenangan dalam menghadapi kerenah anak-anak.

Aku sendiri masih terlalu jauh untuk menjadi isteri dan ibu yang soleh. Banyak lagi ilmu yang perlu ku pelajari, tetapi yang lebih sukar, mengamalkan ilmu tersebut dan berhadapan dengan situasi sebenar yang memerlukan kesabaran yang tinggi. Aku ada pengalaman yang menarik ketika berhadapan dengan anakku yang kuat 'mengamuk' itu. Doktor pakar yang sedang merawat anakku terperanjat bagaimana anakku yang sedang mengamuk sakan boleh terdiam seketika apabila mendengar suaraku sebelum kembali mengamuk. Aku sendiri pun tidak menyedarinya kerana aku hanya fokus kepada apa yang ingin ku sampaikan tanpa menghiraukan keadaan anakku. Aku menggunakan tonasi suara yang rendah dan lembut. Dalam pemikiran ku pula hanya mengingati Allah. Semua berlaku atas izinNya, maka aku bermohon kepada Allah agar anakku berhenti dari mengamuk. Apa yang aku lakukan ini adalah salah satu dari skil keibubapaan. Menggunakan tonasi suara rendah dan lembut bila berhadapan dengan anak yang sedang mengamuk boleh meredakan si anak untuk mendengar kata. Jangan terus melabel sebagai "degil" atau apa-apa yang negetif kerana dibimbangi ianya seperti doa kepada anak. Insyaallah aku akan kongsikan sedikit ilmu keibubapaan pada penulisan akan datang...

Aku pernah ditanya, "Tak bosan ke jadi suri rumah?" Kenapa soalan ini timbul? Kerana suri rumah dianggap sebagai duduk saja dan melakukan aktiviti rutin yang sama dan berulang-ulang. Tanggapan ini timbul kerana melihat kebanyakkan suri rumah dahulu dan sekarang seperti itu. Ini adalah tangapan dari perspektif adat kebiasaan bukan dari perspektif ilmu. Sebagai contoh, bayi yang dalam pantang kebiasaannya hanya dijaga minum, pembuangan najis, kesihatannya oleh si ibu. Si ibu akan membendung bayinya bagi memudahkan bayi untuk lena tidur dan terus tidur. Ini adalah contoh si ibu yang memperkecilkan kebolehan anak. Bayi yang baru lahir juga dilahirkan dengan keupayaan tertentu. Si ibu sudah boleh mula merangsang bayinya untuk mula bercakap, membaca, merangkak, berenang, dll. Hasilnya seperti darwish 3 tahun dan kakaknya darwisya 5tahun yang sudah mampu menghafal surah-surah panjang. (http://darwishndarwisya.blogspot.com/) dan banyak contoh lain yang kebanyakkannya dari negara barat. Tidak hairanlah mereka boleh menjadi negara maju, kerana mempunyai ibu yang berilmu.

Aku berazam untuk meningkatkan ilmu bagi merangsang anakku seawal mungkin. Pada peringkat 0-1 bulan, aku mula merangsang tindakbalas refleksnya. Memang benar tindakan refleks itu semulajadi ada pada bayi, tetapi jika ianya dirangsang akan mempercepatkan kematangan otot motor pergerakan bayi. Sedari dalam pantang aku mula merangsang bayiku untuk merangkak dengan sering meniarapkannya. Pada usia ini bayi sudah mampu bergerak beberapa inci ke hadapan. Pada usia 2 bulan pula, jangan terperanjat jika bayi anda sudah mampu laju mengensot ke hadapan. Memandangkan bayiku mengalami colic yang teruk, aku terpaksa menunda mengajarnya menggunakan flash card sehingga bayiku berusia 3 bulan. Bayiku sangat teruja bila setiap kali sesi pemelajaran. Pada mulanya tiada apa tindakbalas dari bayiku, tetapi bayiku begitu tekun melihat flash card tersebut. Apabila aku mengulangi flash card yang sama beberapa hari selepas itu, kini boleh dilihat reaksinya. Bayiku akan menggerak-gerakkan kaki tangannya dengan laju dan tersenyum sambil berbunyi-bunyi bila melihat flash card yang pernah dilihat tetapi terdiam dan kening berkerut apabila melihat flash card baru. Ini membuktikan bayiku sudah mula menyimpan ke dalam memori flash card yang pernah dilihatnya. Aku juga mengajarnya surah al-fatihah dan surah al-ikhlas. Reaksi yang sama, surah yang biasa didengarinya bayiku aktif mengikutku mengaji bersama tetapi bagi surah baru bayiku diam dan tekun memerhatikan gerak bibirku. Berbeza dengan orang dewasa pada usia bayi hingga 5 tahun otak kanan manusia begitu aktif untuk dirangsang. Kanak-kanak usia ini mampu menghafal surah sebelum tahu membaca Quran kerana otak kanan berfungsi secara 'whole picture' manakala otak kiri secara 'detail'.

Kini telah setahun masa berlalu, walaupun belum lagi ada sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan, namun aku tetap berbangga bergelar surirumah sepenuh masa. Aku pernah bertanya pada suamiku apakah beliau menyesal memberi keizinan untuk aku berhenti kerja, beliau menyatakan lebih suka aku menjadi suri sepenuh masa sebab aku lebih tenang dan ceria berbanding sebelum ini yang mudah marah-marah dan tergesa-gesa. Aku menganggap kenyataan suamiku itu sebagai satu pencapaian kecil ku kerana perasaan tenang dan ceria sangat penting untuk aku mencapai impianku menjadi seorang isteri dan ibu yang soleh, amin.

No comments:

Post a Comment